Tiada acara perjudian sabong ayam semasa Sambutan Gawai Peringkat Kebangsaan 2019 di Bintulu

Johnny Chuat

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 21: Ketua publisiti penganjur Sambutan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan 2019 Johnny Chuat menafikan terdapat acara perjudian sabong ayam sebelum dan semasa berlangsungnya program terbabit pada Mei 17 hingga 19 nanti.

Menurut beliau, ada segelintir pihak mendakwa bahawa akan diadakan aktiviti-aktiviti sabung ayam di beberapa buah tempat sebelum dan semasa berlangsungnya sambutan perayaan Gawai Dayak peringkat kebangsaan nanti.


Tegas Johnny, acara ā€˜sabong ayamā€™ hanya akan diadakan pada pagi Mei 19 di rumah panjang Tuai Rumah Henri Nuni di Gelam, Sebauh dan bertujuan mendemonstrasikan adat tradisional kaum Dayak Iban untuk rakaman dokumentari televisyen dan bukan acara judi sabung ayam untuk pengunjung.

“Demonstrasi ā€˜sabong ayamā€™ berkenaan adalah untuk menunjukkan salah satu daripada budaya serta adat resam kaum Iban zaman dahulu.

“Ianya bukan satu aktiviti perjudian seperti yang ditular oleh segelintir pihak terbabit di beberapa laman media sosial,” katanya.

Tambah beliau, semasa demonstrasi sabong ayam itu nanti, para peserta akan memakai pakaian tradisional kaum Dayak Iban yang lengkap.

Pengunjung-pengunjung juga disarankan untuk memakai pakaian tradisional masing-masing supaya kelihatan seperti suasana sebenar aktiviti laga ayam pada zaman dahulu.

Perayaan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan 2019 di Bintulu adalah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama beberapa badan pertubuhan kebajikan Dayak di negeri ini.

Ianya akan dimulai dengan aktiviti Pasar Gawai Dayak di Sungai Plan, Bintulu pada Mei 13 hingga 17, dibuka untuk orang ramai dari jam 10 pagi hingga 11 malam.

Program menyambut tetamu atau ā€˜Malam Mantar Gawaiā€™ akan diadakan di sebuah restoran pada malam Mei 17 dan akan disertai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Acara kemuncak Perayaan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan ialah ā€˜Ngerandang Jalai Gawaiā€™ yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada awal pagi Mei 18.

Penganjur menyasarkan penyertaan lebih daripada 2,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat Dayak di Sarawak dan beberapa suku kaum Dayak daripada Kalimantan Barat, Indonesia.

Sehubungan dengan itu, Johnny menyeru agar lebih ramai persatuan atau individu tampil untuk mendaftar untuk menyertai perarakan ini bagi memeriahkan lagi suasana Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan yang julung kali diadakan ini.

Selepas tamatnya ā€˜Ngerandang Jalai Gawaiā€™ pada sebelah petang Mei 18, tetamu-tetamu dipelawa untuk ā€˜ngabangā€™ atau berkunjung Gawai dengan suasana rumah panjang di rumah panjang Tuai Rumah Henri Nuni, Gelam, Sebauh.

Pada sebelah pagi Mei 19 pula akan diadakan upacara ā€˜Sandau Hari’ yang diikuti dengan aktiviti demonstrasi laga ayam.

Acara penutupan akan diadakan pada sebelah malam Mei 19 di mana tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tetamu-tetamu akan dihiburkan dengan berbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan pelbagai etnik Dayak, termasuk persembahan-persembahan daripada beberapa suku Dayak daripada Kalimantan Barat, Indonesia. ā€” DayakDaily