Penduduk kampung kawasan Tanjung Embang mahu perkhidmatan feri

Pengkalan Balang di bandar raya Kuching yang sesak.

KUCHING, 3 Jan: Penduduk kampung kawasan Tanjung Embang meminta perkhidmatan feri segera dimulakan operasinya di Pengkalan Balang, di sini.

Ini kerana penduduk terbabit dari Kampung Semilang, Kampung Beradek, Kampung Tiang Api, Kampung Tanju dan Beradek Cina masih mengunakan perahu tambang di pengkalan itu bagi menyeberang sungai untuk ke bandar raya ini setiap hari.

Mohammad Affandi, 33, dari Kampung Semilang berkata bukan sahaja untuk bekerja malahan mereka mengunakan khidmat perahu tambang di pengkalan terbabit bagi ke hospital dan pelbagai urusan penting lain di bandar raya ini.


Ini menyebabkan pengkalan terbabit akan sesak pada sebelah pagi dan petang manakala ketika hujan dan angin kuat serta laut bergelora bukan sahaja operasi perahu penambang di pengkalan terbabit lebih mencabar malahan pengkalan lebih licin serta bahaya jika air surut.

“Saya ada mendengar yang perkhidmatan feri sudah diluluskan di pangkalan ini, sehingga kini masih belum ada perkembangannya. Kalau lebih cepat (beroperasi) lebih baik, lebih menjamin keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya perahu tambang di pengkalan terbabit tidaklah besar dan hanya cukup untuk membawa tiga hingga lima motosikal.

“Cuba bayangkan, jikalau hujan kalau ada kecemasan terutamanya pada sebelah malam, pastinya mendatangkan bahaya yang kita tak boleh gambarkan,” katanya.

Berikutan itu, sementara menunggu pembinaan infrastruktur jalan raya menghubungkan kawasan Tanjung Embang dengan bandar raya ini, Affandi berharap operasi feri diwujudkan sementara bagi lebih menjamin keselamatan mereka.

“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di Pengkalan Balang,” katanya.

Pengkalan Balang yang digunakan penduduk kawasan Tanjung Embang.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, sebelum ini, berkata pihaknya akan membina kemudahan ramp feri di seberang sungai kawasan Tanjung Embang dengan peruntukkan RM1 juta dan kemungkinan selepas itu perkhidmatan feri terbabit boleh dimulakan operasinya tahun ini dan ini juga bergantung kepada kontraktor dan ujian percubaannya.

Dr Hazland berkata demikian ketika menyertai Sesi Libat Urus Program Pertanian Bersepadu Kawasan Tanjung Embang di Kampung Beradek, Ogos tahun lepas.

Katanya kemungkinan juga hanya satu feri akan beroperasi bagi menghubungkan kawasan Tanjung Embang dengan bandar raya Kuching berikutan lima kampung di kawasan itu iaitu Kampung Tiang Api, Semilang, Beradek, Sungai Pinang dan Beradek Cina keseluruhannya ada 300 rumah dan sekitar 2,000 penduduk sahaja.

Beliau menjelaskan sebelum ini cadangan penyediaan perkhidmatan feri terbabit telah tertangguh kerana salah satu cabaran besarnya ialah dari segi keselamatan.

“Ini kerana sungai kawasan terbabit bersebelahan dengan pelabuhan yang besar dan banyak kapal. Apabila kita cadangkan kepada kerajaan negeri, kita dikehendaki memberi jaminan bahawa kawasan sungai terbabit selamat (bagi perkhidmatan feri),” katanya.

Berikutan itu pihaknya sudah melantik juruperunding keselamatan sungai dan baharu sahaja mendapatkan sijil keselamatan bagi menyediakan perkhidmatan feri itu.

Dr Hazland berkata perkhidmatan feri terbabit adalah langkah jangka masa pendek bagi menyelesaikan masalah perhubungan kawasan Tanjung Embang yang kini masih dipisahkan sungai-sungai dengan bandar raya Kuching.

Katanya langkah jangka masa panjang ialah membina jambatan di Tanjung Bako melintasi Sungai Loba Batu Belat yang akan menelan kos lebih RM200 juta. — DayakDaily