Pendidikan STEM lahirkan modal insan berkualiti yang cenderung kepada inovasi dan reka cipta

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Advertisement

KUCHING, 28 Sept: Sarawak perlu melahirkan modal insan yang berkualiti seiring dengan visi mencapai status negeri termaju menjelang tahun 2030, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagi merealisasikan modal insan berkualiti yang cenderung kepada inovasi dan reka cipta katanya, fokus mesti diberikan kepada Pendidikan STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran berkenaan Pendidikan STEM.

Advertisement

“Ini dilaksanakan melalui program-program yang berimpak tinggi seperti STEM Playground, ‘Drone and Robotics Explore’, ‘Community Innovation Literacy’ dan pelbagai lagi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Perasmian STEM Playground Virtual Fair 2020 secara maya di Facebook Tegas hari ini.

Program pendidikan STEM Virtual adalah yang pertama dan terbesar pernah diadakan secara atas talian di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.

Tambah Abang Johari, Tegas turut membawa program-program ini ke luar bandar sebagai usaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar terutama sekali dari segi pendidikan dan pembangunan Infrastruktur.

“Saya turut dimaklumkan bahawa terdapat sekolah di luar bandar seperti SK Pulau Bruit dan SK Long Sepiling turut menjadi johan untuk pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan.

“Selain itu, SMK Jalan Arang telah menjadi johan peringkat dunia dalam pertandingan robotik MAKE X 2019 di Guangzhou, China,” ujar Abang Johari.

Kejayaan itu, katanya, merupakan satu kebanggaan dan membuktikan bahawa rakyat Sarawak boleh berjaya dalam bidang digital dan inovasi ini.

STEM Playground Virtual 2020 menyediakan pelbagai infomasi, fakta, permainan, ceramah, demostrasi dan sebagainya yang telah dibuat secara “virtual”.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata semua aktiviti yang ada dalam STEM Playground Virtual turut boleh dibuat secara “offline” untuk para pelajar di luar bandar mengunakan pendrive.

“Pihak Tegas akan menghantar pendrive tersebut ke semua sekolah di luar bandar yang masih belum ada akses Internet yang kuat untuk dicuba oleh pelajar-pelajarnya,”tambah beliau. — DayakDaily

Advertisement