Misteri penjelmaan tongkang hanyut dan kereta tenggelam di pantai Lutong

Sebuah MPV berwarna biru dihanyutkan selepas air pasang di Pantai Lutong.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Sep 28: Pengunjung pantai Lutong awal pagi ini bukan sahaja digemparkan dengan penemuan sebuah kereta “menyelam” dalam laut, malah kelibat sebuah tongkang tersadai tidak jauh dari lokasi kejadian ternyata mengejutkan mereka.

Persoalan bagaimana kereta MPV berwarna biru itu boleh berada di lokasi kejadian dan siapa pemiliknya masih menjadi tanda tanya.


Menurut beberapa pengunjung, kereta tersebut telah diparkirkan di kawasan pantai berkenaan sebelum ia kemudiannya tenggelam dek kerana air mula pasang di kawasan tersebut.

Setakat ini, tidak ada kelibat mangsa berada di dalam kenderaan tersebut.

Kelihatan tongkang tersadai berhampiran Pantai Lutong.

Manakala, tongkang yang tersadai tidak jauh dari lokasi kereta tersebut dipercayai hanyut dari Sibu sebelum dibawa arus ke Pantai Lutong.

Kejadian disedari orang awam sekitar jam 8 pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut. — DayakDaily