‘Pendekatan kerajaan BN gagal, bukan Dayak kurang berminat ilmu teknikal, vokasional’

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) secretary-general Anthony Nais

KUCHING, Nov 20: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berhubung kehampaan beliau terhadap kekurangan minat masyarakat Dayak dalam bidang teknikal dan vokasional.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Riot berkata masih ramai anak Dayak enggan menyertai pendidikan kemahiran berbanding kaum-kaum lain. Malah Riot juga mendakwa Melayu menyumbang sebanyak 81 peratus berkecimpung dan mempelajari ilmu kemahiran, diikuti India (4.3 peratus) dan China (2.2 peratus) manakala kaum-kaum lain termasuk Bidayuh hanya 12.6 peratus sahaja.

“Sekiranya statistik yang dikeluarkan Riot adalah data rasmi dari kementerian beliau, pekara ini adalah amat serius dan perlu ditangani dengan kadar segera,” kata Anthony Nais, Setiausaha Agung PBDSB dalam satu kenyataan media hari ini.


“Apa yang lebih merisaukan adalah Riot sendiri. Beliau tidak seharusnya hanya meluahkan kehampaan, tetapi perlu menyatakan tindakan susulan yang akan diambil oleh Kementerian Sumber Manusia.

Menurut Anthony, Riot yang juga merupakan ahli Parlimen SUPP Serian harus lebih kerap turun padang dan mengarahkan kementerian beliau untuk membuat kaji selidik berhubung isu tersebut.

“Jangan salahkan masyarakat Dayak; kita sebagai orang Dayak harus tolong-menolong. Riot harus sedar masalah disebabkan pelbagai faktor dan antaranya adalah kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan ilmu teknikal dan vokasional”, kata Anthony.

“Selain itu, kemudahan fasiliti juga amat kurang di Sarawak. Ibu bapa yang tinggal di kawasan pendalaman perlu menghantar anak-anak mereka ke kawasan bandar seperti Kuching, Betong, Sibu, Bintulu dan Miri. Ini memerlukan kos yang amat tinggi selain daripada yuran pengajian,” katanya lagi.

“Maka kerajaan BN Sarawak dilihat gagal merapatkan jurang ini. Apakah fungsi kewujudan IKBN, Mara Dan ILP? Pernahkah Riot turun padang ke kawasan pendalaman? Atau adakah ini sekadar alasan untuk menutup tiga buah maktab di Sarawak?” soal Anthony.

Apabila ditanya samada beliau akan menentang Riot di Serian untuk PRU14, Anthony berkata perkara ini akan diputuskan oleh pimpinan parti. — DayakDaily