Pencuri tembaga kecundang

File Photo/Photo source: Wikimedia Commons

MIRI, 18 Mei: Dua lelaki yang memiliki 10 rekod jenayah lampau, antara tiga ditahan polis pada malam Ahad (Mei 16) bersama beberapa barangan tembaga dan antik dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Piasau Utara.

Tangkapan dibuat semasa serbuan yang dinamakan Ops Bersepadu/Ops Aidilfitri sekitar jam 11 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Hasil siasatan lanjut, mendapati ketiga-tiga suspek terlibat secara aktif dalam kegiatan jenayah curi di sekitar bandaraya ini.

Suspek berusia 27, 28 dan 35 tahun itu kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Susulan penahanan kesemua suspek dan penemuan barangan tembaga serta antik tersebut, pihak polis memohon orang ramai atau mangsa pecah rumah untuk datang ke Balai Polis Pusat Miri bagi melakukan pengecaman barangan terbabit.

Antara barangan yang ditemui semasa tangkapan suspek adalah tiga buah meriam tembaga bersaiz kecil, sebilah pedang Samurai, selaras pistol perhiasan antik, tiga busar memanah, dan sebuah patung tembaga berbentuk singa. — DayakDaily