Penyamun kempunan, dicekup polis selepas melakukan rompakan

Kedua dua suspek (berdiri tiga dan empat dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Mei: Tidak sampai dua jam selepas dua sahabat merompak dan mencederakan seorang lelaki berhampiran kawasan parkir kereta sebuah hotel di Jalan Permaisuri pada malam Isnin (17 Mei), mereka telah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek, berusia 41 dan 19 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dalam satu operasi dikenali sebagai Ops Aidilfitri/Ops Cantas susulan laporan mengenai kejadian dibuat.


Tangkapan dilakukan sekitar jam 11.30 malam dan 12.30 pagi Selasa (18 Mei) di dua buah bilik sewa di Jalan North Yu Seng dan Miri Times Square.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 malam Isnin itu, mangsa telah dipukul sehingga mengalami kecederaan pada badan oleh kedua-dua suspek sebelum melarikan bag sandangnya.

Mangsa sempat melarikan diri masuk ke dalam lobi sebuah hotel berdekatan dan meminta bantuan pekerja di sana.

Pihak ambulans dan polis dengan segera dimaklumkan mengenai kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Sabri Zainol mengesahkan tangkapan ketika dihubungi. — DayakDaily