Pemutihan senarai elak maklumat tidak tepat antara punca penerima BKSS tersingkir

Abang Johari pada sidang media BKSS 4.0 di Wisma Bapa Malaysia hari ini (23 Okt, 2020).

KUCHING, 23 Okt:  Setiausaha Kerajaan Negeri perlu melakukan pemutihan terhadap senarai nama pemohon Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang diterima bagi mengelakkan terdapatnya maklumat tidak tepat berkenaan pemohon bantuan tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati memandangkan ia melibatkan pengurusan kewangan awam.

“Sebagai contoh seperti yang kita tahu, bapanya bankrap, jadi bapanya tiada lagi dalam senarai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), diganti anaknya, jadi anaknya ini sebenarnya bujang, tetapi dalam senarai SSM menunjukkan dia merupakan pengarah syarikat dengan jumlah pendapatan sekali sekaligus mengeluarkan anak terbabit daripada senarai penerima,” katanya pada sidang media BKSS 4.0 di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Katanya situasi itu secara tidak langsung menyebabkan kelayakan individu terlibat untuk menerima bantuan BKSS terbatal kerana mereka telahpun terkeluar daripada senarai yang termasuk golongan B40.

Sementara itu dalam sidang media sama Setiausaha kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika memberikan senarai golongan B40 kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan berpandukan kepada semakan yang dilakukan dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Apabila di tukar kepada BKSS, LHDN akan semak semula senarai mereka jika terdapat pertukaran status atau sebagainya lalu menyebabkan senarai tersebut tidak sama dengan senarai yang sebelumnya dan mereka-mereka ini mungkin tidak layak lagi untuk menerima BKSS.

Beliau berkata, ketika melaksanakan proses tersebut LHDN perlu merujuk kepada lebih kurang 20 agensi kerajaan berkaitan sebelum senarai penuh dengan maklumat terkini dapat dikeluarkan dan digunakan untuk tujuan pemberian BKSS.

Bagaimanapun mengulas mengenai isu terdapat penerima yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) namun tidak tersenarai sebagai penerima BKSS, beliau berkata pihak berkenaan akan melihat dan merujuk semula perkara tersebut dengan agensi berkaitan.

Ia bagi memastikan setiap maklumat yang diterima seterusnya digunakan untuk tujuan pemberian BKSS adalah tepat dan tidak mempunyai permohonan yang bertindih. –DayakDaily