PEMULIH bantu pancu sektor pembinaan — Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 29 JUN: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) membantu memacu sektor pembinaan yang turut terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan susulan penularan pandemik.

Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusuf berkata, ia dicapai menerusi langkah kerajaan memudah cara prosedur perolehan kerajaan dalam fokus kedua Pemulih.

Katanya, ia sekaligus membantu golongan B40 dalam sektor berkenaan.


“Melalui Pemulih kerajaan telah membenarkan perubahan harga bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan daripada 1 Januari sehingga 31 Disember 2021.

“Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik.

“Dan membenarkan lanjutan masa projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak,’katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fadillah, dengan membenarkan perubahan harga bagi projek kerja, ia akan membantu pihak kontraktor akibat kenaikan mendadak harga bahan mentah ketika ini.

Jelas beliau yang juga MP Petra Jaya, ini kerana kenaikan bahan mentah turut memberi impak kepada masalah kewangan kontraktor.

Dengan membantu kontraktor G1 hinga G4 tempatan melaksanakan projek berskala kecil secara undian dan sebut harga pula, Fadillah yakin kontraktor berkenaan dapat melaksanakan kerja dengan lebih efektif kerana mendapat harga yang keuntungannya lebih selesa.

“Ia juga memberi peluang kepada lebih ramai kontraktor kecil untuk mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan.

“Manakala lanjutan temph projek pula akan membolehkan kontraktor menjadual semula jadual kerja bagi memastikan kerja dapat disiapkan sepenuhnya.

“Sebaliknya jika projek ditamatkan impak kewangan dan masa penyiapan projek yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah lebih tinggi berikutan masa diperlukan untuk melantik kontraktor baru dengan harga baru juga biasanya lebih tinggi daripada kontrak asal,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Fadillah menyifatkan Pemulih bernilai RM150 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bersifat inklusif dan menyeluruh.

Katanya, ia menyantuni setiap lapisan rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. — DayakDaily