PPVIN Perladangan dicadang dibuka di Bintulu

Kelihatan seorang penerima vaksin mendapatkan suntikan di PPVIN Kidung Kelab Bintulu.

KUCHING, 29 JUN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian(JPBB) Bintulu mencadangkan pembukaan PPVIN Perladangan bagi proses vaksinasi pekerja ladang.

Ini susulan kejayaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPIV) Samalaju untuk pekerja perkilangan dan terbaru PPIV Kidurong Kelab Bintulu untuk pekerja sektor minyak dan gas.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata, ketika ini cadangan itu masih menunggu penilaian daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Bahagian Bintulu untuk kelulusan.

“Dalam perancangan, kita akan membuka satu lagi PPVIN iaitu PPVIN (Perladangan) dan sekarang kita masih menunggu penilaian daripada pihak CITF Bahagian Bintulu,’katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS).

Tambah Dr Melvin, JPBB Bintulu pada minggu depan berkemungkinan akan pergi ke beberapa buah tempat yang dicadangkan bagi pembukaan PPVIN Perladangan.

Katanya, ia setelah mendapat kelulusan perancangan daripada Pengarah CITF Bahagian iaitu Residen Bahagian Bintulu.

Pada Isnin, beliau telah menyaksikan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Kidurong Kelab Bintulu.

Menurut Dr Melvin lagi, kejayaan dua PPVIN sebelum ini mencetus inspirasi JPBB Bintulu untuk terus meningkatkan kadar vaksinasi ke atas masyarakat di Bahagian Bintulu.

Ini khususnya mereka yang terlibat dalam sektor industri, minyak dan gas serta perladangan selain masyarakat awam yang menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada. — DayakDaily