Pemuda PBB: Kerajaan Sarawak sekat bantuan Covid-19 hanya retorik politik DAP

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu logo

KUCHING, 15 Mei: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mendakwa kerajaan Sarawak menahan bantuan Covid-19 sehingga menghampiri waktu pilihan raya sebagai retorik politik bagi menarik sokongan kepada parti itu.

Katanya kenyataan tersebut sama sekali tidak tidak menggambarkan realiti sebenar yang mana kerajaan negeri sentiasa membantu perusahaan kecil dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

“Ini boleh dilihat dari pelbagai bantuan yang dikeluarkan melalui pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang memberi impak kepada penerima.


“Selain itu, ia juga dibantu oleh pakej rangsangan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat melalui Prihatin, Penjana dan Pemerkasa. Ternyata rintihan dan isi hati rakyat ini didengari oleh pihak kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ujar kenyaataan itu, Chong dan parti DAP tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sembrono dan hanya bermain politik dengan mengambarkan seolah-olah kerajaan Sarawak tidak menitikberatkan perihal kebajikan rakyat ketika berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Katanya, menyedari keperluan bagi golongan perusahaan kecil dan serdehana (PKS), perusahaan mikro, penjaja serta peniaga kecil untuk memperoleh pendapatan, kerajaan Sarawak telah berusaha untuk menyediakan platform terbaik untuk memastikan perniagaan mereka tidak terjejas.

Ia jelas dalam pendiriannya untuk menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

“Walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS), penjaja serta peniaga masih dibenarkan beroperasi.

“Ini penting terutamanya dalam memastikan pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Pemuda PBB yakin kerajaan akan mempertimbangkan keperluan untuk mengadakan bantuan lanjutan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik tersebut.

Katanya, keperluan itu pasti akan wujud memandangkan  keadaan dinamik Covid-19 yang kian meruncing terutamanya dalam usaha memastikan kelangsungan ekonomi setempat pasca Covid-19. — DayakDaily