Pemuda maut dalam kemalangan di Jalan Padang Kerbau, Miri

Motosikal mangsa dirempuh dalam kejadian di Jalan Padang Kerbau, Miri.

Brad Rantayy

MIRI, 26 Julai: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah jip di Km 1 Jalan Padang Kerbau di sini pada petang Sabtu lepas.

Dalam kejadian pada jam 4.10 petang itu, mangsa berusia 29 tahun itu, dari Desa Indah Bandar Baru Permyjaya, meninggal dunia beberapa jam kemudian di Hospital Miri akibat cedera parah pada badan dan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata siasatan awal mendapati mangsa menuju ke arah Hospital Miri sebelum dirempuh jip berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun yang tiba-tiba masuk ke simpang sebelah kanan.

“Jip berkenaan datang dari arah bertentangan, telah membelok ke kanan untuk masuk ke simpang rumah beliau,” ujar Alexson.

Alexson berkata penunggang tersebut telah mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

“Setelah beberapa jam kemudian mangsa telah disahkan meninggal dunia pada 7.36 malam hari yang sama di Hospital Miri,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-DayakDaily