Bangunan makmal PCR baharu di Hospital Miri dijangka beroperasi minggu depan

Lee (empat dari kiri) bersama pegawai kesihatan dan pengarah Dr Wong (tiga dari kiri) ketika melawat bangunan PCR Hospital Miri yang baharu.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 9 April: Bangunan makmal PCR yang baharu di Hospital Miri dijangka beroperasi pada minggu depan.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB) Datuk Lee Kim Shin memberitahu perkara ini hari ini selepas mengadakan sesi lawatan ringkas ke bangunan tersebut.


Permohonan peruntukan untuk membina satu makmal PCR bagi membuat saringan Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) telah dipohon sejak bermulanya pandemic Covid-19 pada Mac 2020.

Sementara menunggu kelulusan peruntukkan, Lee juga menyeru kepada pihak swasta dan masyarakat untuk membantu dalam usaha mengawal dan mencegah jangkitan Covid-19.

Bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bahagian Miri, Lee turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak sektor swasta, khasnya Syarikat Samling kerana telah memberi sumbangan dua buah mesin PCR dan dua buah Bio-safety Cabinet untuk makmal Hospital Miri.

Lee melawat makmal PCR yang baharu.

Kini, Miri mempunyai makmal PCR baharu bagi meningkatkan saringan rPT-PCR dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pengesanan jangkitan Covid-19 di Hospital Miri yang menelan kos perbelanjaan pembinaan dan peralatan berjumlah kurang lebih RM600,000.

Bangunan makmal baharu yang dibina secara khusus (Custom Made) ini mempunyai ruang yang lebih luas dan selesa serta dapat memuatkan peralatan-peralatan baru dan membolehkan lebih ramai petugas makmal bekerja secara serentak dalam satu-satu masa.

Pada masa ini, pembahagian dan penyusunan sampel berlaku di tempat yang berasingan dengan makmal PCR utama.

Oleh itu, kelebihan makmal baharu tersebut adalah semua proses PCR daripada permulaan di makmal baharu ini.

Ini juga memberikan persekitaran yang kondusif dan mampu menambah kapasiti harian pemprosesan sampel sehingga 800 sampel sehari.

Pengopersian bangunan makmal baharu ini akan dapat mengatasi tunggakan (backlog) dan kelewatan mengeluarkan keputusan ujian calitan (swab test) yang dilakukan di seluruh Daerah Miri.

Peningkatan kes yang semakin tinggi saban hari merupakan cabaran yang besar bagi Hospital Miri untuk mempercepatkan keputusan ujian calitan agar langkah sewajarnya dapat disegerakan bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di Miri khususnya.

Lee mewakili JPBB Miri merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta Hospital Miri dengan terbangunnya makmal baharu ini.

JPBB Miri juga memohon orang ramai bekerjasama erat dengan kerajaan untuk mengekalkan waspada dan sentiasa mematuhi aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 secara ketat.

Turut hadir, Abdul Aziz Bin Mohd Yusuf, Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri; Dr P. Raviwharmman, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri; Dr Jack Wong Siew Yu, Pengarah Hospital Miri; Dr Haris Syazwani Mohamad Hassan, Pakar MikroBiologi Perubatan; Dr.Azlee Ayub, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (Perubatan); dan Siti Rohanie Yusuf, Pemangku Pegawai Daerah Miri. — DayakDaily