Pemuda GPS: DAP lebih pentingkan diri dan kuasa

GPS logo (file photo)

KUCHING, MAC 4: DAP Sarawak lebih pentingkan diri dan kuasa, berbanding kepentingan rakyat dan negeri Sarawak.

Menurut kenyataan bersama pemuda Gabungan Parti Sarawak(GPS), setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang mereka menyalahkan GPS.

“Kenapa melalak nak salahkan GPS apabila kerajaan PH tumbang?


“Namun langsung tidak bersuara ketika hak dan kepentingan Sarawak diabaikan, serta segala projek untuk Sarawak ditarik balik oleh Kerajaan PH selama 21 bulan menjadi kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan ketua-ketua pemuda dari empat parti komponen GPS iaitu Gerald Rentap Jabu mewakili PBB, Datuk Snowdan Lawan(PRS), Micheal Tiang (SUPP) dan Robert Ayu (PDP).

Persoalan mereka, dimana suara DAP Sarawak ketika banyak projek infrastruktur di pedalaman Sarawak dibatalkan, ketika Kerajaan PH enggan menyediakan bajet untuk sekolah daif.

Ketika Petronas enggan membayar 5 peratus cukai petroleum, ketika ada pemimpin PH menyuarakan niat menghapuskan autonomi Imigresen Sarawak, ketika PH memindah pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Borneo ke Sabah.

Dan ketika PH melantik warga Malaya sebagai Pengerusi UNIMAS dan banyak lagi kepentingan Sarawak terjejas sepanjang PH berkuasa.

Menurut mereka lagi, dakwaan MP(DAP) Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang menyalahkan GPS kononnya menjadi sebahagian daripada gerakan membentuk apa yang mereka dakwa sebagai kerajaan pintu belakang dan menuduh GPS sebagai memanupulasi kemelut politik yang melanda negara, adalah satu kenyataan terdesak dan sengaja dicipta untuk mengelirukan rakyat.

“DAP dan PKR yang menjadi punca kepada kemelut politik negara.

“Jika mereka tidak terlalu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH mungkin masih lagi berkuasa hingga ke hari ini,” kata mereka.

Keempat-empat pemimpin itu juga percaya kalau DAP dan PKR konsisten mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad serta tidak tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, kemelut politik negara akan selesai lebih awal dan Tun Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri.

Justeru mereka merasakan Dr Kelvin patut cermin diri, semua ini sebenarnya angkara siapa.

“Mereka asyik berebut kuasa sesama sendiri sehingga rakyat dan negara yang menjadi mangsa,”ujar mereka lagi.

Menurut mereka, GPS memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan supaya politik negara kembali stabil dan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada usaha memacu kembali ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.—DayakDaily