Pemuda dengan 5 rekod jenayah pecah rumah dicekup polis

Suspek (tiga dari kiri) ditahan anggota JSJ Miri pada Jumaat di sebuah unit Tudan Quadruplex.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Feb: Seorang lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan curi , ditahan pihak polis tengahari tadi untuk siasatan lanjut.

Semasa tangkapan sekitar jam 1 petang pada Jumaat, polis turut menemukan sebuah televisyen berukuran 42 inci dipercayai barangan curi dari sebuah rumah sewa di Tudan Quadruplex.


Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 29 tahun itu dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Desa Indah Permyjaya awal bulan ini.

Dilaporkan, semasa kejadian, pemilik rumah tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Kejadian hanya disedari apabila ahli keluarga pemilik rumah menyedari pagar hadapan dan pintu utama kediaman dirosakkan.

Pihak polis telah segera dimaklumkan.

Bertindak daripada laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah berjaya mengesan keberadaan suspek pada Jumaat di sebuat rumah sewa di Tudan Quadruplex.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily