Berang kerana makanan, seorang lelaki mengugut ahli keluarganya

Suspek (tengah) ditahan pihak polis tengahari Jumaat untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Feb: Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditahan polis pada Jumaat kerana dipercayai melakukan perbuatan khianat dan mengugut anggota keluarganya dalam satu kejadian amok di sebuah rumah di Tidan Desaras Fasa 6.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, suspek ditahan selepas adik mangsa membuat laporan polis mengenai insiden itu pada Rabu.


Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitae jam 12 tengahari di Tudan Desaras Fasa 6.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan jenayah khianat dan kesalahan penggunaan dadah selain daripada curi.

Dalam kejadian pada Rabu itu, suspek dikatakan telah mengamok secara tiba-tiba selepas bertengkar dengan isterinya mengenai makanan.

Suspek telah bertindak merosakan sebuah kipas angin berdiri (stand fan) dan pintu almari di dalam biliknya sebelum mengugut ahli keluarganya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily