Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu kajian teliti — Wan Junaidi

Wan Junaidi (tiga dari kanan) menyerahkan cek bayaran pendahuluan kepada pemilik tanah bagi pembinaan kawasan letak kereta Masjid Darul Ehsan Kampung Sejingkat.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Sept: Pemisahan jawatan dan peranan pendakwa raya daripada peguam negara perlu kajian teliti walaupun ia diamalkan di kebanyakan negara khususnya negara Komanwel.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia bukanlah perkara yang mudah kerana melibatkan proses meminda sebanyak 19 undang-undang termasuk Perlembagaan.


Katanya, pemisahan kedua-dua kuasa itu juga bakal melibatkan perbelanjaan besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

“Perkara ini memang ada dibincangkan oleh ahli-ahli Parlimen di dewan dan pihak akademia.

“Kami sebagai pentadbir kerajaan sebagai menteri menjaga undang-undang membuat kajian apa implikasi dan apa bakal terjadi kalau pihak peguam negara dan pendakwa raya dipisahkan.

“Jadi kita jangan lihat ia satu perkara yang mudah, walaupun banyak negara luar seperti negara Komanwel memisahkan kedua-dua pihak ini tetapi ia bukan mudah,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Tambah Wan Junaidi, proses meminda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Undang-Undang Anti Lompat Parti memakan masa yang panjang apatah lagi jika meminda sebanyak 19 undang-undang bagi membolehkan pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Kedua, katanya, peguam negara perlu ada pejabat sendiri, perlu ada perpustakaan sendiri serta staf dan penasihat sendiri.

“Ini semua tidak boleh dikongsi bersama pendakwa raya dan implikasi ialah penambahan perbelanjaan kerajaan akan berlaku .

“Sekarang peguam negara dan pendakwa raya berkongsi semua kemudahan, tetapi apabila dipisah nanti ia perlu kemudahan sendiri dan kerajaan mungkin perlu membelanjakan beratus juta setahun untuk membiayai satu-satu pejabat ini,” ujar Wan Junaidi.

Dalam pada itu, beliau pada hari ini telah menyerahkan wang deposit pembelian tanah Masjid Darul Ehsan Kampung Sejingkat.

Menurut Wan Junaidi, kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM250,000 bagi membeli tanah hampir satu ekar bagi membina kawasan letak kereta di masjid tersebut.

Manakala peruntukan bagi membina baharu masjid sebanyak RM2.5 juta telah diperolehi daripada Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob. — DayakDaily