Pemilik salon dikompaun ekoran gagal sedia buku rekod pelanggan

Pemilik premis dikenakan kompaun ekoran tidak menyediakan buku rekod masuk pelanggan.

KUCHING, 3 Mei: Pemilik premis salon kecantikan di Miri dikenakan kompaun pada Jumaat (30 April) setelah didapati tidak menyediakan buku rekod masuk pelanggan.

Kesalahan pelanggaran prosedur operasi ‘standard’ (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu dikesan semasa satu pemantauan yang dilakukan oleh pasukan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pemilik dikompaun di bawah undang-undang Perlindungan Pesanan Kesihatan Awam 1999 (PPHO).


“MBM tidak akan berkrompomi sebaliknya terus mempergiatkan pemantauan SOP bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19 yang kini masih meningkat.

“Sebanyak tiga buah pasukan telah ditugaskan bagi memantau SOP PKPB di Bandaraya Miri berdasarkan tiga zon yang telah ditetapkan,” memetik laporan Ukas.

Dalam pada itu, sehingga Selasa, sebanyak 618 buah premis perniagaan telah diperiksa iaitu meliputi 28 buah pasaraya, 527 restoran atau premis makanan, 25 penjaja, 13 pusat penjaja dan 25 lain-lain premis perniagaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 nasihat telah dikeluarkan MBM berhubung pematuhan SOP PKPB selain amaran lisan diberikan kepada premis yang mengambil ringan terhadap pematuhan SOP. — DayakDaily