MIRI, Okt 5: Seorang pemilik restoran mengalami kerugian kira-kira RM1,500 selepas sekumpulan pencuri melarikan lapan unit tong gas memasak di sebuah premis perniagaan makanan di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, sekumpulan penjenayah telah bertindak memotong pagar stor penyimpanan tong gas tersebut di belakang restoran berkenaan.
Menurut sumber, pemilik restoran tersebut hanya menyedari kejadian itu selepas tiba di premis berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kumpulan pencuri terbabit telah memecah masuk stor penyimpanan itu dan mencuri lapan unit tong gas.
“Selepas itu, penjenayah berkenaan kemudian memasukkan lapan tong gas tersebut di dalam sebuah kereta Perodua Kancil sebelum melarikan diri,” katanya hari ini.
Sumber menambah, rakaman CCTV juga mendapati wajah suspek-suspek terbabit sukar dikenalpasti lagi.
Ini kerana ujarnya, suspek-suspek berkenaan masing-masing memakai topi untuk mengelak daripada mudah dikesan.
“Tidak cukup dengan itu, kereta Perodua Kancil yang digunakan juga ditutup nombor pendaftarannya dengan menggunakan kertas.
“Buat masa ini, polis masih berusha menjejaki suspek-suspek yang terlibat,” ujarnya.Ā ā DayakDaily