Tong gas LPG meletup, 4 cedera di Bintulu

Keadaan di lokasi kejadian.

BINTULU, 21 Sept: Empat pekerja sebuah kafe di Tanjung Batu, di sini dilaporkan cedera selepas berlaku letupan gas LPG di bahagian dapur kafe petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.47 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di lokasi kejadian, ketua operasi memaklumkan kejadian melibatkan letupan gas LPG menyebabkan beberapa bahagian cermin kaca dan siling mengalami kerosakan.

“Terdapat empat orang pekerja kafe mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital oleh pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pasukan Bomba hanya memantau kawasan kejadian memandangkan api telah padam sepenuhnya.

“Setelah mendapati keadaan terkawal dan selamat, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.40 petang. — DayakDaily