Pemilik akaun FB Kenedy Morie dicekup selepas sebar video palsu

Suspek (tengah) ditahan untuk siasatan lanjut.
Advertisement

KUCHING, Mac 16: Tindakan seorang pemilik akaun Facebook (FB) Kenedy Morie menyebarkan klip video palsu berhubung kes penemuan kepala wanita yang dipenggal di Sungai Skait, Sri Aman dalam media sosial semalam membawa padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan telah menahan suspek yang berusia 21 tahun itu di sebuah rumah di Kampung Sagu, Sebuyau pada pukul 1.05 petang.

Menurut beliau, semasa tangkapan dilakukan, polis telah merampas telefon bimbit milik suspek itu untuk tindakan lanjut.

Advertisement

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang petani.

“Suspek berkenaan akan dibawa ke IPD Sri Aman bagi diambil keterangan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dev menambah, sebelum itu, pihak polis telah meminta pemilik akaun FB terbabit tampil ke balai polis untuk diambil keterangan.

Ia katanya, adalah berhubung penyebaran klip video seorang wanita yang dipenggal kepalanya seperti yang ditularkan dalam laman media sosial.

“Hasil semakan yang dilakukan, polis mendapati klip video yang diviralkan adalah dari sebuah negara di Amerika Selatan.

“Klip video yang viral dan dikaitkan dengan kes penemuan kepala seorang wanita di tebing Sungai Skait, Sri Aman adalah tidak benar sama sekali.

“Satu laporan polis telah dibuat mengenai penyebaran klip video berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement