Kanak-kanak perempuan maut, motosikal dinaiki terlibat kemalangan

Keadaan di tempat kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuala Baram hari ini.
Advertisement

MIRI, Mac 16: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya terlibat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Baram di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa, Heather Helda Tawi, 11, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati nahas itu melibatkan masing-masing sebuah kereta Perodua Myvi, kenderaan pacuan empat roda Toyota FJ Cruiser dan sebuah motosikal Yamaha.

Advertisement

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa dikatakan telah merempuh belakang Toyota FJ Cruiser sebelum terbabas dan dilanggar oleh kereta Perodua Myvi di laluan sebelah kiri.

“Perlanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal yang belum dikenalpasti identitinya cedera parah.

“Mangsa pula disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, kedua-dua pemandu kenderaan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement