Kanak-kanak tiga tahun jatuh dalam sungai ketika memancing, dikhuatiri lemas

Anggota APM melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

KOTA SAMARAHAN, Mac 16: Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Semawang di Kampung Semawang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Serry Jimbat, 3, dikatakan sedang memancing ikan di sungai tersebut bersama kakaknya Zetty Jimbat, 10.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.32 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota APM Kota Samarahan kemudian diarahkan ke kampung berkenaan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.

“Berdasarkan keterangan kakak mangsa, semasa kejadian, Serry dikatakan sedang mengambil bunga di tepi sungai lalu tergelincir jatuh ke dalam sungai sebelum kelibatnya terus hilang dibawa arus sungai.

“Pihak APM bersama dengan agensi lain serta penduduk kampung telah melakukan pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan sungai tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama menambah, pencarian mangsa juga dilakukan dalam jarak tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan jatuh sehingga ke pintu tali air di situ.

Namun ujarnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa ditangguhkan hari ini berikutan hujan lebat beserta dengan kilat.

“Operasi itu akan disambung pada pagi esok. Selain APM, pasukan polis, bomba serta penduduk kampung turut serta dalam operasi itu,” katanya lagi. — DayakDaily