Pemeriksaan rekod jenayah ke atas semua guru, pekerja institusi pendidikan awal sedang dirancangkan

Fatimah (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil institusi pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini yang telah menyertai Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-12/ 2018 semasa majlis penutupannya.

KUCHING, Oktober 7: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merancang menjalinkan kerjasama dengan pasukan polis bagi melakukan pemeriksaan rekod jenayah ke atas semua guru dan pekerja di prasekolah, tadika, taska dan institusi pendidikan awal kanak-kanak lain di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pemeriksaan tersebut penting dimulakan supaya memastikan semua guru dan pekerja terbabit tiada yang memiliki rekod jenayah berkaitan kanak-kanak.

“Kita (Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak) akan berbincang dengan pasukan polis samada mereka dapat membantu kita dalam hal berkaitan pemeriksaan saringan dan tapisan itu untuk memastikan bukan sahaja kalangan pendidik malahan kakitangan lain termasuk pengawal keselamatan dan tukang kebun (di prasekolah, taska dan tadika di negeri ini) tiada rekod jenayah terutama berkaitan jenayah seksual kanak-kanak,” katanya selepas merasmikan penutupan Konvensyen Pendidikan Prasekolah Siri Ke-12/ 2018, di sini, hari ini.


Fatimah berkata berikutan itu kementerian terbabit selepas ini akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof tidak lama lagi bagi membincangkan kerjasama tersebut dengan pengurusan tertinggi pasukan polis di negeri ini.

Beliau bagaimanapun belum dapat mengesahkan samada kementerian itu juga akan mewajibkan pemeriksaan terbabit dilakukan ke atas semua individu yang akan diambil sebagai kakitangan atau pekerja di semua tadika, taska, pra sekolah dan institusi pendidikan awal kanak-kanak seluruh negeri ini.

“Ketika ini belum lagi dapat dipastikan (pemeriksaan itu akan dapat diwajibkan). Biarlah kami membuat kunjungan hormat (kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak) bagi membincangkannya dan mengetahui apa hasilnya,” katanya.

Selain pemeriksaan itu, bagi menjaga keselamatan kanak-kanak di institusi pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini juga, pihaknya merancang bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi mencari cara memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di institusi pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

“Ini berikutan ada premis prasekolah, tadika dan taska di negeri ini yang sudah dipasang CCTV, tetapi bukan semua ada memasangnya, jadi kita perlu melihat bagaimana memperluaskan lagi pemasangan CCTV di premis terbabit sebagai satu langkah keselamatan,” katanya.

Selain itu, Fatimah berkata pihaknya juga akan menyuarakan permohonan keseluruhannya seramai 392 guru, pendidik dan penyelia tadika, taska dan prasekolah di negeri ini yang menyertai konvensyen terbabit bagi kerajaan negeri menambahbaik infrastruktur, liputan dan kelajuan Internet di kebanyakkan tempat di negeri ini.

“Terdapat juga prasekolah, taska dan tadika yang memerlukan peralatan dan perkakasan seperti komputer, komputer riba dan tablet berikutan peralatan terbabit yang disediakan kerajaan sebelum ini sudah rosak dan masih belum diganti,” katanya dan ini berikutan konvensyen tersebut bertema “Pendigitalan Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak”.

Katanya kalangan guru dan pendidik institusi pendidikan awal kanak-kanak terbabit juga meminta kerajaan negeri turut menganjurkan bengkel khas kepada mereka yang khusus bagi meningkatkan kemahiran mengunakan perisian dan aplikasi berkaitan pendidikan awal kanak-kanak. — DayakDaily