Jangan tular kes jenayah dalam media sosial, laporkan polis dahulu

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Okt 7: Masyarakat umum kini lebih gemar ‘berlumba-lumba’ untuk menularkan sesuatu kejadian berhubung kes jenayah dalam media sosial berbanding melaporkan terus kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, perkara seumpamanya tidak wajar kerana mereka sepatutnya melaporkan sesuatu kes jenayah terus kepada pihak polis untuk tindakan segera.

Tegas beliau, orang awam terlebih dahulu perlu menghubungi polis tentang kes jenayah segera daripada menularkan dalam media sosial.


“Begitu pun, tindakan menular kes dalam media sosial bukanlah salah, tetapi mereka perlu memaklumkan kes jenayah kepada pihak polis terlebih dahulu.

“Sehubungan itu, kita memohon kerjasama daripada orang awam supaya segera melaporkan kes jenayah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas Program Kepolisan Komuniti di Pasaraya Mydin Petra Jaya.

Ng menambah, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung kes jenayah di daerah Kuching dengan menghubungi talian 082-244444 untuk tindakan segera.

Sementara itu Ng memberitahu, kes melibatkan kecurian motosikal dan jenayah pecah rumah masih menjadi penyumbang terbesar kadar jenayah indeks di daerah ini.

Jelas beliau, setakat Oktober 5 lepas, sebanyak 412 kes mencuri motosikal dilaporkan berlaku di sekitar bandar raya in

“Manakala, kes pecah rumah yang direkodkan dalam tempoh sama ialah sebanyak 192 kes,” katanya. — DayakDaily