Bukan rumah sahaja, kereta dan motosikal turut musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah.

PADAWAN, Okt 7: Malang berganda menimpa sebuah keluarga kerana bukan sahaja rumah terbakar, malah kereta dan motosikal milik mereka turut musnah dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Abang di sini awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, dua individu yang menetap di kediaman berkenaan selamat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 3.48 pagi.


Jelasnya, lima anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam kebakaran kemudian diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dan sebuah kedai yang bercantum jenis berstruktur separuh kekal

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air dari jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Mohd Hairul menambah, siasatan awal mendapati semasa kebakaran berlaku terdapat dua penghuni berada di kediaman berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan kerana mereka sempat keluar menyelamatkan diri.

“Ketika ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung pemilik kediaman berkenaan,” ujarnya. — DayakDaily