Pembinaan bangunan baharu Hospital Miri dahului jadual asal

Kelihatan Lukanisman (enam dari kanan, baju hitam) semasa lawatan ke Hospital Miri. Foto: Ukas

KUCHING, 18 Dis: Projek pembinaan bangunan baharu Hospital Miri kini mendahului jadual asal seperti yang dirancangkan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, tahap kemajuan fizikal projek tersebut kini 43.13 peratus berbanding 38.51 peratus berdasarkan jadual asal.

“Ini merupakan perkembangan yang sangat baik kerana kita biasanya melihat isu-isu yang kerap timbul berkaitan kelewatan pembinaan klinik dan hospital lebih-lebih lagi disebabkan faktor wabak Covid-19,” katanya dalam satu sidang media selepas melawat Hospital Miri semalam.


Blok baharu dengan lapan tingkat itu akan memberikan kapasiti tambahan sebanyak 328 katil di mana Hospital Miri pada masa ini mempunyai kapasiti sebanyak 345 katil.

Tambah beliau, Sarawak juga memerlukan sebuah lagi Pusat Jantung sebagai tambahan dan ia akan dimasukkan dalam perancangan dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM sedang menyiapkan “Kertas Putih” sebagai perancangan dalam tempoh 10 ke 15 tahun mengenai halatuju sistem perkhidmatan awam kita.

“Di Sarawak, kita juga akan melihat kepada pelaksanaan dasar berkaitan klinik-klinik yang sedang mengalami kerosakan dan daif termasuk di kawasan luar bandar.

“Di samping itu, hal-hal berkenaan keperluan tenaga kerja dalam sistem kesihatan Negeri ini juga akan diteliti selain isu pegawai berstatus kontrak yang kerap dibangkitkan,” jelas beliau.

Sementara itu, Lukanisman memberitahu, tumpuan akan diberikan kepada keinginan Kerajaan Sarawak terutamanya berkaitan autonomi dalam sektor kesihatan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew. — DayakDaily