KUCHING, 1 April: Seorang pembantu perubatan maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Sultan Tengah, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian menunggang motosikal dan telah berlanggar dengan sebuah kereta sekitar jam 5 pagi.
Susulan itu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun dari Kampung Buntal, terus dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.27 pagi.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
Manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily