Pembantu jualan rugi RM43,240 terpedaya dengan kes pinjaman wang tidak wujud

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

MIRI, April 28: Seorang pembantu jualan rugi RM43,240 selepas tertipu dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 44 tahun telah menerima mesej dari aplikasi WhatsApp daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada syarikat pinjaman wang.


Katanya, mangsa kemudian menyatakan dirinya berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000.

“Suspek seterusnya setuju dan memberitahu permohonan pinjaman RM50,000 diluluskan dengan syarat selama 10 tahun dan bayaran bulanan sebanyak RM620.

“Suspek kemudian menyuruh mangsa memasukkan wang sebanyak RM1,240 sebagai deposit,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal memberitahu, suspek kemudian mengatakan nama mangsa telah disenarai hitamkan.

Katanya, mangsa yang panik seterusnya dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM3,120, RM8,000, RM6,000 dan RM4,850 untuk membersihkan namanya dari senarai hitam.

“Suspek kemudian menyuruh mangsa memasukkan wang sebanyak RM7,000 dan RM RM6,030 ke dalam akaun yang butirannya diberikan suspek.

“Mangsa sekali lagi diminta untuk memasukkan wang RM5,000 dan RM2,500. Namun, mangsa tidak berbuat demikian kerana merasakan dirinya telah ditipu,” ujarnya. — DayakDaily