Hujan lebat akibatkan banjir kilat di Rumah Panjang Adang Ulu Ridan

Keadaan air banjir yang memasuki pekarangan rumah panjang.

Oleh Dean Adam

MARUDI, April 28: Hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat di Rumah Panjang Adang Ulu Ridan di sini hari ini.

Kejadian tersebut telah menyebabkan rumah panjang tersebut dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.35 petang.

Jelasnya, sepasukan tiga bomba dari BBP Marudi telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi pemantauan.

Anggota bomba melakukan operasi pemantauan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati air telah memasuki kawasan rumah panjang tersebut.

“Tindakan pasukan bomba kemudian mendapatkan maklumat dari tuai rumah berkenaan dan seterusnya memantau keadaan kawasan rumah panjang bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan selamat,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, sepanjang pemantauan tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Jelasnya, pasukan bomba kemudian balik semula ke balai selepas air mulai surut dan keadaan terkawal sepenuhnya.

“Pemantauan dari masa ke semasa turut dilakukan,” katanya. — DayakDaily