Pembantu belia dan sukan rugi RM1,630 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 6: Seorang kakitangan awam wanita mengalami kerugian sebanyak RM1,630 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon atau dikenali ‘Macau scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima semalam, pembantu belia dan sukan berusia 38 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang wanita kononnya pegawai tadbir mahkamah bernama Puan Niza Othman.

Jelasnya, suspek tersebut kemudian memaklumkan bahawa nama mangsa telah digunakan untuk membuat kad kredit Hong Leong Bank dan telah membuat pinjaman melalui kad kredit sebanyak RM30,000.

“Tidak cukup dengan itu, suspek juga memberitahu terdapat baki tertunggak sebanyak RM28,795.75 dan perlu dibayar jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

“Suspek kemudian telah menyambungkan talian kepada Puan Sheryl kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka sebelum suspek kedua itu memaklumkan kes mangsa akan diambil oleh Tuan Sun,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, selang beberapa minit kemudian mangsa telah menerima pesanan WhatsApp dari nombor telefon 017-6703508.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa memasukkan wang RM600 ke dalam akaun RHB atas nama Kevin Heng Yan Mean melalui ‘online’ RHB Bank untuk pembayaran autodebit.

“Mangsa juga telah memasukkan wang ke dalam akaun RHB bank melalui mesin juruwang automatik (ATM) berjumlah RM1,030.

“Wanita yang mula menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Sementara itu, Musfata menegaskan, antara langkah yang boleh diambil sebagai pencegahan ialah dengan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi.

“Jika menerima panggilan dan merasa was-was dengan perkara itu, adalah lebih baik terus menghubungi organisasi berkenaan bagi menyemak status kes yang dinyatakan.

“Cuba elakkan diri menjadi mangsa seterusnya dengan menghentikan serta merta panggilan telefon yang mencurigakan,” jelasnya. — DayakDaily