Pembangunan telekomunikasi di Sarawak

A file photo of a telecommunication tower. Photo: Pixabay

KUCHING, 26 Nov: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah menjalankan inisiatif Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dimana 300 buah menara telekomunikasi dibina di kawasan pedalaman dan terpencil di seluruh Sarawak, jelas pengurus besar SMA Dr Zaidi Razak.

Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 263 buah menara telekomunikasi telah siap dibina dan kesemua 300 buah menara dijangka siap pada suku pertama tahun depan (2022).

“Manakala, 300 buah menara telekomunikasi yang baharu akan dimula pembinaannya bermula pada suku keempat tahun 2022 menerusi program Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) fasa kedua. Inisiatif Kerajaan Sarawak ini akan dilaksanakan oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak.

“Pemilihan tapak menara dilakukan dengan kerjasama SMA bagi memastikan jaringan yang optimum dapat dicapai untuk kepentingan rakyat Sarawak dan ianya telah mendapat kelulusan dan kerja-kerja survei akan dilakukan sebaik sahaja laporan terakhir yang akan dikemaskinikan oleh kontraktor-kontraktor yang telah dilantik, diluluskan oleh pihak MCMC,” jelas Zaidi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zaidi lagi, kesemua menara-menara yang akan dibina dibawah inisiatif SMART akan dilengkapi dengan servis Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).

“MySRBN merupakan sebuah inisiatif Kerajaan Sarawak melalui SDEC untuk memperluaskan liputan jalur lebar sehingga 5km keluasan dengan menggunakan teknologi Fixed Wireless Access (FWA).

“Lebih dari 150 kawasan luar bandar dan pedalaman telah diperuntukkan yang menyasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 45,000 buah rumah dengan kelajuan internet sehingga 30Mbps,” jelas beliau.

Bagi mengurangkan jurang rangkaian jaringan telekomunikasi di seluruh negeri, Zaidi berkata, perkhidmatan 2G, 4G dan MySRBN sedang dalam fasa pemasangan dan penaiktarafan oleh penyedia perkhidmatan seperti Digi, Celcom, Maxis, U-Mobile dan SDEC.

“Program JENDELA dibawah Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina sebanyak 636 buah menara telekomunikasi di seluruh Sarawak.

“Pemilihan tapak menara dilakukan dengan kerjasama SMA bagi memastikan jaringan yang optimum dapat dicapai untuk kepentingan rakyat Sarawak,” kata beliau.

Sementera itu, Zaidi berkata, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan telah menyediakan penyelesaian sementara dalam memberi pautan internet kepada rakyat di kawasan pedalaman dan terpencil.

“Kerajaan Sarawak melalui SMA telah melengkapi lebih dari 200 kampung dan rumah panjang yang dengan perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT) melalui inisiatif WIFI SALURAN.

“Selain WIFI SALURAN, Kerajaan Sarawak melalui SAINS, juga telah melengkapkan inisiatif Digital Socio Economy (DSE) untuk meluaskan rangkaian SarawakNet di 60 lokasi di seluruh Sarawak,” jelas beliau.

Zaidi berkata, selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui MCMC sedang menjalankan inisiatif Broadband Wireless Access (BWA) untuk 523 kawasan berpendudukan di seluruh negeri, juga sebagai penyelesaian sementara.

“Tambahan, Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) adalah inisiatif kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kabel dasar laut domestik yang sedia ada antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekaligus untuk memenuhi pertumbuhan jalur lebar masa hadapan.

“Sistem kabel dasar laut baharu ini, menjangkau lebih 3,800km mendarat di enam pendaratan di Kuantan, Mersing, Kuching, Bintulu, Miri dan Kota Kinabalu,” kata beliau.

Jelas Zaidi, bagi mengukuhkan lagi infrastruktur telekomunikasi di Sarawak, sebuah syarikat persendirian milik anak Sarawak telah mencadangkan Batam Sarawak International Cable (BASIC) dimana gentian fiber optik menghubungkan Batam, Indonesia dengan Buntal, Sarawak.

Ini menjadikan ianya sebagai gateway baru bagi negeri Sarawak dan Buntal, Sarawak sebagai “Landing Station”.

“Akhir sekali, untuk menyediakan kepelbagaian jaringan rentas sempadan ke Brunei, yang merupakan inisiatif swasta Sarawak bersama syarikat telekomunikasi Brunei, Darusalam Telekom (DST), dalam menyediakan kesalinghubungan antara dua negara,” tambah beliau.— DayakDaily