Pemandu maut, lori terhumban ke dalam gaung

Pasukan Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Juetila Ozzy

BINTANGOR, 17 Ogos: Seorang lelaki maut dan seorang lagi parah selepas lori yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Jalan Merurum, Julau hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 12.39 tengah hari tadi.


Katanya, mangsa yang maut merupakan pemandu lori dikenali sebagai Raddy Gudet, 37 tahun dan pembantunya Boniface Beruang Tinggom, 25 tahun mengalami kecederaan di badan dan kepala.

Jelasnya, kemalangan berlaku apabila lori yang membawa muatan pembinaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung setinggi 10 meter.

“Terdapat dua mangsa lelaki terlibat kemalangan tersebut, di mana seorang mangsa berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan bomba.

“Manakala seorang mangsa lagi mangsa merupakan pemandu yang tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas pada jam 3.45 petang,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara mangsa yang cedera telah dihantar ke Klinik Kesihatan Ng Sekalong, Merurum Julau.

Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian. — DayakDaily