Pemandu maut dalam nahas lori rempuh lori

Keadaan kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan.
Advertisement

MIRI, Jan 5: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori lain di Kilometer 60, Jalan Kelulit Bekenu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Zainal Junaidi, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat tersepit dan kecederaan parah yang dialaminya.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu lori tiga tan sedang dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke Bintulu.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila kenderaan yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan berkenaan.

“Kesan rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu lori yang rosak pula dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, pasukan bomba turut berada di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri telah bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement