Ratusan penduduk Kampung Tambirat terjejas akibat kejadian tanah runtuh

Beginilah keadaan tanah runtuh yang berlaku di jalan Kampung Tambirat, Asajaya.

ASAJAYA, Jan 6: Ratusan penduduk di Kampung Tambirat di sini terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan jalan kampung lama berkenaan semalam.

Tidak cukup dengan itu, terdapat tiga buah rumah yang didiami 24 penghuni di kampung tersebut turut terjejas ekoran insiden kira-kira pukul 1.30 petang itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 1.35 petang.

Katanya, laporan yang diterima ialah berhubung tanah runtuh telah menyebabkan jalan kampung lama di situ runtuh dengan anggaran keluasan seluas 30 x 30 meter.

“Selain itu, sistem paip air dan bekalan eletrik turut terjejas akibat runtuhan tersebut.


“Anggota bomba kemudian bertindak membuat pemantauan serta memasang sawar-sawar untuk memberi amaran berjaga-jaga kepada orang awam di sekitar lokasi yang terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan tanah runtuh yang berlaku di jalan Kampung Tambirat, Asajaya.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba turut membantu memindahkan barang-barang penghuni rumah yang terjejas ke rumah saudara mereka yang berhampiran

“Pasukan bomba juga akan terus membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian untuk kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya lagi. — DayakDaily