Pemandu mabuk ditahan di Jalan Kuching-Serian

Pengguna jalan raya menjalani ujian kepekatan alkohol dalam darah semasa operasi tersebut.

PADAWAN, 19 Sept: Seorang lelaki ditahan kerana memandu dibawah pengaruh alkohol semasa diperiksa dalam Op Mabuk pada 17 Sept lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata lelaki berusia 30 tahun itu semasa ditahan memandu sebuah kereta jenis Toyota Land Cruiser.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kepekatan alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan.

“Pemandu tersebut telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda dari RM10,000 hingga RM30,000 jika didapati bersalah.

Op Mabuk tersebut yang diketuai ASP Kenny Charles Juta dijalankan di Batu 16 Jalan Kuching-Serian dari jam 8 malam sehingga 10.30 malam.

“Sepanjang operasi, sebanyak 15 saman atas pelbagai kesalahan merangkumi kesalahan seperti ubah suai ekzos telah dikeluarkan,” katanya.

Ujarnya, pengguna jalan rata diingatkan supaya tidak memandu kenderaan atau menunggang motosikal selepas mengambil minuman beralkohol.

“Ini untuk keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya. — DayakDaily