Bayi terkunci dalam kereta di Sibu Jaya

Gambar komposit menunjukkan operasi membuka pintu kereta.

SIBU, 19 Sept: Seorang bapa panik dan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak apabila anaknya yang baharu berusia setahun terkunci di dalam kereta.

Jurucakap Bomba berkata kejadian dilaporkan berlaku di Sibu Jaya iaitu sekitar jam 4.52 petang semalam.

Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.


“Anggota operasi menggunakan pembasir besi dan batang besi untuk membuka pintu kereta tersebut namun tidak berjaya.

“Seterusnya pemilik kereta meminta anggota bertugas memecahkan cermin kereta tersebut dengan menggunakan batang besi untuk membuka pintu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, pintu kereta berjaya dibuka dan anak mangsa disahkan selamat.

Anggota operasi kemudian berangkat balik ke balai pada jam 5.18 petang. — DayakDaily