Kerajaan sedia RM471.6 juta bagi PPC, beralih ke era endemik – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 19 SEPTEMBER: Kerajaan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga bebas dari jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai persediaan ke arah era endemik Covid-19 dan inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40.

“Usaha ini antara lain bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu.


“Ini sekaligus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bantuan PPC mengandungi pek pelitup muka guna semula (4 keping setiap keluarga), kit ujian kendiri Covid-19 (4 kit setiap keluarga), 1 pulse oximeter, 1 termometer serta risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

Katanya, pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

“Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

“Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR. Selain itu, dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan Covid-19,”ujar beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19.

Ujar beliau, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang. — DayakDaily