Pemandu lori kilang telur maut dalam kemalangan

Kelihatan lokasi kemalangan maut melibatkan seorang pemandu lori.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 26: Seorang pemandu lori kilang telur menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di Lorong Bayor Bukit 8 di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Law Moi Mui, 56, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada pukul 3.10 petang.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah kereta Perodua Bezza yang bergerak dari arah yang sama.

Katanya, akibat kemalangan itu, motosikal mangsa dikatakan telah masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah sebuah lagi kereta Toyota Altis.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa dan motosikalnya melambung ke belakang sebelum dirempuh sebuah lagi kereta Perodua Myvi,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mangsa yang cedera parah kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun katanya, malang menimpa mangsa apabila dia disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di hospital.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement