321 penghuni rumah panjang cemas, bumbung rumah diterbangkan angin ribut

Kelihatan keadaan rumah panjang yang terjejas akibat dilanda angin ribut.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 26: Seramai 321 penghuni Rumah Panjang Ramba Sungai Liam, Bekenu berdepan dengan detik mencemaskan apabila bumbung rumah mereka diterbangkan oleh angin ribut, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, sebanyak 24 pintu daripada 72 pintu di rumah panjang tersebut telah terjejas.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.16 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Lopeng kemudian diarahkannya ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Kelihatan keadaan rumah panjang yang terjejas akibat dilanda angin ribut.
Kelihatan keadaan rumah panjang yang terjejas akibat dilanda angin ribut.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati terdapat beberapa buah pintu mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang penduduk rumah panjang berkenaan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Bekenu bagi mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kejadian itu menyebabkan seramai 130 orang dewasa dan 51 kanak-kanak daripada 24 pintu rumah berkenaan terjejas.

“Mangsa yang terjejas kini ditempatkan sementara di SK Sg Liam Bakong,” katanya. — DayakDaily