BAU, 14 Mac: Seorang pemandu lori cedera di perut dan dada akibat ditikam oleh dirinya sendiri di kuarters pekerja sebuah kuari di Keranji semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata pihak polis menerima panggilan memaklumkan mangsa bertindak mencederakan diri mengunakan pisau pada jam 4.30 petang.
“Hasil siasatan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu dipercayai telah menikam dada dan perutnya menggunakan pisau.
“Suspek telah dikejarkan ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suspek yang dilaporkan stabil akan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Pihak polis telah merampas satu bolah pemotong sayur yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan dihukum penjara sehingga satu tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. — DayakDaily