Oleh Dean Adam
KAPIT, Jul 30: Seorang pemandu kren yang dilaporkan hilang selepas jentera yang dikendalinya terjatuh ke dalam Sungai Rajang pada Ahad lalu ditemui mati hari ini.
Mayat mangsa, Kiing Sih Hock, 59, dijumpai oleh orang awam pada pukul 1.02 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa ditemui kira-kira 7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum itu.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke pos kawalan bomba untuk tindakan selanjutnya.
“Mayat lelaki malang itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital,” katanya di sini hari ini.
DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang pemandu kren dilaporkan hilang selepas jentera yang digunakan untuk memunggah kayu balak terjatuh ke dalam Nanga Emang, Sungai Rajang, petang Ahad.
Mangsa yang dilaporkan itu berasal dari Sibu.
Pihak bomba menerima laporan kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit pada pukul 7.46 petang, Ahad. — DayakDaily