Lelaki maut dihempap kayu, ketika tebang pokok

Anggota bomba berusaha menurunkan mangsa dari atas pokok.

SERIAN, 23 April: Seorang lelaki maut, akibat dihempap kayu (pokok) di Kampung Engkelumai, Jalan Serian-Balai Ringin, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pihak pada jam 3.19 petang.

Katanya, bantuan dipohon untuk menurunkan mangsa yang tersangkut di atas pokok.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar mangsa tersangkut di atas pokok, komander operasi kemudian membuat “size up” berpandukan konsep RECEO dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersangkut pada pokok yang ditebang.

“Pihak bomba mendapatkan bantuan jengkaut milik orang kampung bagi mengalihkan batang kayu yang menghempap mangsa sebelum dia berjaya diturunkan.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dikenali sebagai Abang Sudi, 35 tahun, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian kemudian berangkat balik ke balai selepas operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.30 petang.— DayakDaily