Lelaki selamat diri sebelum kereta terbakar

Kelihatan sebuah kereta yang terbakar.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jul 30: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri selepas kereta yang dipandu merempuh tiang elektrik lalu terbakar di Jalan Penrissen awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, pemandu Perodua Viva tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.29 pagi.

Anggota bomba sedang memadam kebakaran kereta.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan api sedang marak membakar sebuah kereta Perodua Viva yang melanggar tiang elektrik di tepi jalan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati pemandu kereta itu bekerja menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, api tersebut telah memusnahkan kereta tersebut 100 peratus.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.38 pagi,” katanya.— DayakDaily