Lelaki ditemui mati dalam kereta di hadapan pasar raya Tudan

Kereta mangsa di lokasi kejadian.

MIRI, 22 April: Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah pasar raya di Tudan, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.46 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng terus ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar terdapat sebuah kereta dan terdapat seorang lekaki tidak sedarkan diri di dalam kereta tersebut.

“Bomba menjalankan operasi membuka pintu kereta tersebut setelah menerima arahan daripada polis di lokasi kejadian.

“Operasi membuka pintu dijalankan menggunakan peralatan khas dan selepas berjaya dibuka, didapati mangsa yang tidak sedarkan diri telah meninggal dunia oleh pihak KKM di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan bomba kemudian bertolak ke balai setelah keadaan selamat.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.48 pagi.— DayakDaily