BAU, 13 Sept: Seorang pemandu jentolak tertimbus bersama jenteranya dalam kejadian runtuhan batu di sebuah kuari di Jalan Tanjung Durian, Siniawan, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.18 petang tadi.
Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba Bau dikerahkan ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
“Bomba terima laporan mengatakan sebuah jentolak yang membuat kerja-kerja meratakan tapak batu telah tertimbus oleh kejadian runtuhan batu di kuari tersebut.
“Terdapat seorang lelaki (pemandu) berada di dalam jentolak yang tertimbus dihempap batu sebesar anggaran 20 meter itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya juga, sehingga jam 4.45 petang tadi, operasi menyelamat yang turut dilakukan bersama pihak kuari menggunakan empat jengkaut terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat.
“Operasi disambung pada jam 5.30 petang dengan hanya sebuah jentera penebuk digerakkan bagi menebuk batuan yang besar untuk memasang bom bagi memecahkan batu-batu di lokasi batu yang menghempap mangsa,” katanya.
Sehingga berita ini ditulis, difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Anthony Kanna, 48, masih tertimbus.
Difahamkan pada pagi tadi, aktiviti mengebom bagi memecahkan batuan di kawasan kuari telah dilakukan menyebabkan struktur batu tidak stabil dan runtuh. – DayakDaily