Insiden bot karam di Pulau Satang: Sembilan selamat, satu masih hilang

Antara mangsa yang terselamat dan dibawa ke Jeti Telaga Air. Kredit: Gambar Facebook Iqbal Qabeel.

KUCHING,3 Okt: Seramai sembilan daripada 10 orang yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam berdekatan Pulau Satang Besar berjaya diselamatkan awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata sembilan yang diselamatkan terdiri daripada lapan pemancing dan seorang tekong bot.

Katanya, pembantu tekong iaitu Awang Omar Awang Hamsawi yang berusia 59 tahun masih belum ditemui.


“Pada jam 5 pagi, bot nelayan telah memasuki jeti awam Telaga Air dan berjaya menemui dua lagi mangsa menjadikan keseluruhan mangsa selamat adalah seramai sembilan orang.

“Sembilan mangsa yang terselamat dibawa ke jeti Telaga Air dan telah balik ke pangkuan keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pencarian seorang lagi mangsa masih diteruskan.

Turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Satu sidang media berhubung insiden tersebut akan dibuat di Jeti Telaga Air pada jam 2 petang ini. — DayakDaily