Pelan Induk Bekalan dan Grid Air perlu peruntukkan segera RM165 juta

File photo for illustration purposes only.

KUCHING, 24 Mei: Kementerian Utiliti memerlukan peruntukan segera sebanyak RM165 juta untuk menjalankan kerja-kerja Front-End Engineering (FEE) bagi merealisasikan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air yang disiapkan pada tahun 2021 menggariskan pembangunan bekalan air di Sarawak untuk jangka masa sehingga tahun 2025, tahun 2040 dan tahun 2070.


“Ia merangkumi tiga teras strategik untuk menangani isu permintaan air, rawatan dan pengagihan air serta kualiti dan kecukupan air untuk kedua-dua air mentah dan air terawat,” katanya.

Julaihi berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Menurut beliau, FEE melibatkan kerja siasatan tapak, survei dan reka bentuk kawalan dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kini dalam penyediaan dokumentasi untuk melantik perunding FEE.

“Objektif pelan induk ini adalah untuk membangunkan sistem grid air yang merangkumi pembangunan sumber air mentah, perawatan dan pengagihan air.

“Ia akan menghubungkan semua loji utama yang merentasi seluruh Sarawak dan membentuk sistem grid air yang berterusan,” katanya.

Selaras dengan pelan ini tambah Julaihi, sebanyak 100 loji rawatan air sekarang akan dikurangkan kepada 38 buah loji rawatan air utama.

Manakala loji rawatan air berkapasiti kecil dan tidak ekonomik untuk beroperasi serta mempunyai masalah sumber air mentah, akan diberhentikan operasinya atau diguna semula sebagai stesen pam penggalak,” ujar Julaihi. — DayakDaily