Pelajar sekolah antara tiga individu ditahan disyaki terlibat kes dadah

Ketiga-tiga suspek akan direman mulai hari ini (14 Jun, 2921) sehingga 18 Jun, 2021.

KOTA PADAWAN, 14 Jun: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah antara tiga individu yang ditahan polis petang semalam (13 Jun) kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Lim Jaw Shyong berkata ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 17 ke 28 tahun.

“Kesemua suspek telah ditangkap semasa serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan ke atas sebuah rumah di Kampung Mambong, Jalan Mambong Sarig Padawan sekitar pukul 4 petang.


“Semasa serbuan, pihak polis berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 5.10 gram yang dianggarkan bernilai RM450,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dadah seberat 5.10 gram yang dirampas oleh pihak polis.

Tambahnya Mahkamah Majistret Kuching telah meluluskan reman terhadap ketiga-tiga suspek bermula hari ini sehingga 18 Jun, 2021 bagi melengkapkan siasatan polis.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily