Dua saspek kes ragut di Desa Wira mengaku bersalah, kena penjara 10 tahun dan 10 sebatan

Chomson (lima kiri) dan Kenny (empat kanan) menerima sijil penghargaan dari DSP Lim (lima kanan).

KUCHING, 29 April: Dua saspek kes ragut bermotosikal di Jalan Desa Wira di Batu Kawa mengaku bersalah dalam pertuduhan hari ini.

Kedua-dua saspek telah dituduh dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, kedua-dua saspek dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan.


“Pada 22 April 2024 jam lebih kurang 7.54 pagi berlakunya kejadian samun ragut yang melibatkan mangsa seorang perempuan berumur 50-an diragut oleh dua orang saspek menaiki motorsikal di Jalan Desa Wira, Batu Kawa Kuching.

“Dengan tindakan pantas serta bantuan dari orang awam, salah seorang saspek berjaya ditangkap pada waktu kejadian.

“Manakala seorang lagi saspek berjaya melarikan diri.

“Hasil kecekapan dan risikan maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan berjaya memberkas seorang lagi saspek yang lolos pada sebelah petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu DSP Lim, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada dua orang awam yang bertindak pantas dalam membantu mangsa ragut tersebut seperti yang terakam dalam video ‘dash cam’.

Kedua-dua mereka ialah Kenny Ng Chau Seng dan Chomson Gon. — DayakDaily